Monday, November 17, 2008

Carl Yung -perkembangan / personaliti




Definisi perkembangan sepanjang hayat boleh dikatakan sebagai kehidupan seseorang yang bermula dari sejak lahir sehingga kematiannya. Perkembangan ini meliputi aspek gaya hidup ataupun personaliti. Menurut Carl Jung, perkembangan manusia adalah satu tahap perubahan pada manusia yang dipengaruhi oleh tenaga psikik yang akan membentuk gaya kehidupan personaliti individu itu.


Jung juga memberi pendapat bahawa tenaga psikik yang mempengaruhi perkembangan itu akan mengalir dalam pelbagai arah samada dari alam sedar ke alam tidak sedar atau sebaliknya. Ianya berlaku secara abstrak tetapi nyata di mana ia tidak boleh disentuh tetapi kewujudannya boleh dilihat melalui persepsi, pemikiran, perasaan dan keinginan(Azlina Abu Bakar. 2002). Tenaga psikik yang diketengahkan oleh Jung juga adalah kesan daripada konflik antara desakan yang berlaku di dalam personaliti. Tanpa berlakunya sesuatu konflik maka boleh dikatakan tidak akan wujud tenaga dan kehidupan.


Menyorot sejarah kecemerlangan akademik abad ke-19 Carl Jung merupakan salah seorang anak murid Sigmund Freud yang mana beliau pernah mempelajari ilmu perubatan di Universiti Basel dan beliau pernah bekerja sebagai psikiatrik di Hospital Mental di Zurich. Walaupun pada mulanya beliau bersependapat dengan Freud, akhirnya beliau telah keluar dari pemikiran Freud dimana beliau telah mengetengahkan teori yang lebih mementingkan faktor-faktor internal(dalaman) yang berbeza dengan Freud yang hanya mementingkan luaran semata-mata.(Mahmood Nazar Mohamed. 2001). Pendekatan Jung cukup menjelaskan akan pengaruh persekitaran yang menjadi faktor perkembangan seseorang. Di dalam teori yang dikemukakan oleh Jung, beliau menggariskan perkembangan manusia ini melalui 3 peringkat utama iaitu peringkat zaman kanak-kanak, remaja dan pertengahan umur.



Pada peringkat pertama Jung menjelaskan perkembangan manusia di dahulukan dari kelahiran seseorang. Pada peringkat pertama ini Jung memfokuskan tahap perkembangan bermula dari lahir sehingga tahap akil baligh. Idea Jung menjelaskan bahawa pada tahap ini kanak-kanak belum mempunyai identiti tersendiri. Kanak-kanak lebih meniru ibu bapa mereka. Dalam keadaan ini ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorak personaliti anak-anak. Kanak-kanak akan meniru segala pergerakan ibu bapa mereka untuk mempelajari kan sesuatu benda baru. Hal sedemikian termasuklah percakapan, pergerakan dan lain-lain yang menjadi sumber pembelajaran kanak-kanak. Pada tahap ini ego kanak-kanak masih lagi berkadar primitif memandangkan kanak-kanak masih belum cukup kuasa menguasai persekitaran, yang mana mereka masih mempunyai pergantungan yang besar dengan ibu bapa mereka. Pada tahap ini juga ibu bapa merupakan sumber pergantungan paling besar bagi kanak-kanak untuk mereka mendapatkan belaian kasih sayang dan perhatian.


Namun ego akan berubah melalui peredaran masa dan kanak-kanak sudah mula memahami dunia secara realiti. Ego berkembang apabila pembelajaran telah meresap dalam diri seseorang. Keadaan ego juga akan dipengaruhi oleh pengaruh kuat ibu bapa yang mendidik. Perubahan ego akan terus berlaku apabila kanak-kanak dapat membezakan diri sendiri dan orang lain. Perubahan ego juga dapat dilihat dalam diri kanak-kanak apabila kanak-kanak sudah pandai mengatakan haknya. Situasi ini dapat dilihat apabila kanak-kanak berkelahi dengan kanak-kanak lain dalam mempertahankan barang permainannya sendiri.


Pada tahap ini juga, idea Jung menjelaskan bahawa kanak- kanak sudah mempunyai ciri-ciri tak sedar kolektif yang mana hadirnya tema-tema arkitaip seperti persona. Pada tahap ini idea Jung menjelaskan kanak-kanak sudah pandai cuba menempelak diri sendiri dengan persona atau topeng kehidupan. Kanak-kanak cuba berperwatakan seperti orang lain dan tidak menonjolkan dirinya sendiri. Tahap imiginasi juga sangat tinggi pada tahap ini dan kanak-kanak suka meniru gaya orang lain. Situasi ini dapat dilihat apabila kanak-kanak suka meniru perwatakan yang ditiru
dalam televisyen contohnya watak kartun, penggusti dan lain-lain. Jadi tidak hairanlah sekiranya kita dapat melihat kanak-kanak yang suka bermain dan berimiginasi di dalam kehidupan awalnya.


Namun apabila kanak-kanak sudah mencapai tahap belasan tahun dan secara realitinya meraka akan mengalami akil baligh. Ini juga boleh dipanggil tahap remaja. Pada tahap ini idea Jung menjelaskan bahawa lahirnya tenaga psikik seseorang yang akan mempengaruhi personaliti mereka. Tenaga psikik di sini merangkumi perkembangan tahap pemikiran, perasaan, kederiaan dan gerak hati. Pada zaman ini juga Jung menjelaskan bahawa tahap ini berlakunya tahap kesukaran dalam pengadabtasian kehidupan( Mahmood Nazar Mohd. 2001). Jung juga menjelaskan tahap ini seseorang mengalami krisis identiti yang mana para remaja berhadapan mencari identiti sebenar dan terdedah kepada pengaruh persekitaran yang kuat terhadap identiti mereka. Jadi tidak hairanlah hari ini kita dapat melihat ramai para remaja mudah terpengaruh terhadap sesuatu, Hal ini berikutan perubahan alam akil baligh menyebabkan mereka mengalami satu perubahan kehidupan yakni dari zaman kanak-kanak kepada alam keremajaan yang pastinya berubah dari setiap segi.


Menurut Jung lagi, pada zaman remaja ini akan berlakunya perubahan fisiologi secara total yang mana remaja mengalami perubahan fizikal, bersuara garau bagi lelaki dan sebagainya. Selain itu pada tahap ini juga akan berlakunya perubahan kendiri para remaja. Remaja akan cenderung kepada perasaan cinta yang sangat kuat. Pada tahap inilah psikoseksual memainkan peranan penting dalam pengawalan cinta berahi seseorang( Ab. Aziz Mohd Zin.1999). Remaja akan terdedah kepada alam kebahagiaan rasa cinta dan ingin dicintai. Menurut Jung lagi pada tahap ini akan berakhirnya fantasi kanak-kanak. Remaja akan berhadapan kehidupan realiti dan remaja kena banyak membuat keputusan sendiri.




Jung juga memberi pendapat bahawa pada zaman remaja lebih tertumpu kepada kefungsian psikologikal ekstravensi, yang mana pada tahap ini remaja suka bertingkahlaku secara emosional dan sensitif. Pada tahap “darah muda” ini remaja sukar untuk ditegur dan merasakan dirinya sentiasa berada pada landasan yang benar. Di dalam pemikiran juga Jung menjelaskan pada tahap ini remaja suka lebih berfikiran logik dan objektif. Selain itu pada tahap remaja ini sifat ingin tahu (inkuiri) menebal dalam diri mereka. Mereka cuba sebaik mungkin mengenali perkara-perkara baru dan pelik terutama perkara yang diluar dari ruang lingkup kehidupan seharian, budaya dan lain-lain lagi.


Di dalam aspek kederiaan pula Jung menjelaskan pada zaman remaja ini mereka akan lebih bersifat ‘out going’ dan sering mencari keseronokan luar. Remaja akan lebih meminati hiburan dan tidak suka dikongkong serta sukar mengikut perintah. Pada zaman remaja inilah remaja akan sebaik mungkin menonjolkan sifat dalam dirinya. Remaja akan lebih bersifat kreatif, bermotivasi dan sering mengambil peluang yang ada di hadapannya. Hal sedemikian dilakukan semata-mata remaja ingin menempatkan diri mereka dalam masyarakat. Remaja cuba menjadikan dirinya terbaik agar masyarakat memandang mereka. Perilaku demikian sebagai titik tolak untuk remaja ‘survive’ akan kehidupan yang lebih mencabar. Pada zaman ini remaja suka diambil perhatian orang.


Tidak hairan pada tahap ini remaja lelaki suka menunujuk lagak pada remaja perempuan dan begitu sebaliknya semata-mata ingin menempatkan diri mereka kepada orang lain. Jung turut menjelaskan bahawa pada tahap inilah segala personaliti seseorang akan terbentuk melalui faktor persekitaran. Jika pada tahap ini seseorang itu tidak dipantau secara berkesan akan melahirkan remaja yang mungkin tersasar jauh dari realiti kehidupan sebenar. Tahap perkembangan seterusnya yang diutarakan oleh Jung ialah tahap dewasa lingkungan umur 35 hingga 40 tahun. Pada tahap ini Jung menjelaskan zaman perubahan alam keremajaan ke alam kedewasaan. Walaupun perkembangan fizikal sudah mula merosot namun perubahan psikologikal terus berlaku. Menurut Jung pada tahap ini seseorang akan mengalami pembentukan personaliti secara total dan masalah krisis kemerajaan sudah berakhir.

Jika dilihat pada keadaan ini kebanyakan individu itu sudah bekerjaya dan melalui alam rumah tangga. Walaupun krisis keremajaan sudah berakhir namun seseorang itu tidak akan terlepas dari krisis pertengahan umur. Pada zaman ini seseorang akan merasakan dirinya kurang bertenaga dan sering merasakan kekosongan dalam hidupnya. Pada zaman ini ada juga individu cuba mempersoalkan kehidupannya dan mempersoalkan mengapa sesuatu itu berlaku. “ Why it happen” seolah-olah individu masih belum memperoleh sesuatu dan memahami dunia sebenar ( Josh R. Gerow. 1992). Begitulah krisis yang sering berlaku pada zaman pertengahan umur ini.


Menurut Jung lagi pada zaman ini, individu banyak memfokuskan kehidupan spiritual dan lebih bersifat materealistik. Pada zaman inilah kebanyakan individu berhumpas pulas membina keseimbangan empayar hidupnya dengan lebih mencari kekayaan dan kesenangan hidup. Apabila berada pada alam kerjaya dan berkeluarga sudah pasti sedikit sebanyak mengubah cara bentuk kehidupan seseorang individu itu. Seseorang bapa itu akan lebih bersifat autoriti dan bersifat memerintah terhadap keluarganya. Bagi si ibu pula sifat keibuan semakin meninggkat dan berusaha mencari kebahagian keluarganya.


Selain itu, Jung juga memperjelaskan akan perubahan kefungsian psikologikal seseorang. Pada zaman ini seseorang individu itu akan mengalami tumpuan introvensi pada dirinya. Di dalam pemikiran, kebiasaannya golongan pada zaman ini akan lebih mementingkan kerja daripada sosial. Separuh kehidupan sehariannya diperhambakan untuk mencari rezeki dan akan berkurangnya sifat sosial dalam diri. Pada zaman ini individu tidak lagi mencari keseronokan seperti zaman remaja. Fokus kehidupan lebih kepada kerjaya dan keluarga. Dalam perspektif perasaan pula, Jung menjelaskan kebanyakan individu pada alam ini lebih memendam sikap yang sebenarnya dan lebih bersikap pasif terhadap sifat dalam dirinya.




Jung juga menambah bahawa pada alam ini individu sukar dihampiri dan sukar diluahkankan perasaan padanya tidak seperti zaman remaja yang lebih fleksibel dan bersifat keterbukaan. Individu hanya boleh diajak berdiskusi dan berkongsi masalah pada aspek-aspek tertentu seperti masalah kerja dan keluarga. Pada alam ini juga Jung menjelaskan bahawa gerakhati seseorang lebih cenderung ke alam fantasi dan berkhayal. Mungkin khayalan fokus kepada sesuatu yang masih belum dimiliki dan diidamkan. Tidak hairan jika kita lihat pada zaman ini ada lelaki yang mengimpikan untuk beristeri lebih dari satu dan mengimpikan hidup kaya raya. Khayalannya lebih bersifat serius tidak seperti impian pada zaman remaja yang lebih menjurus kepada keseronokan.


Begitulah diantara idea Carl Jung dalam memeperkatan aspek perkembangan manusia. Jung cuba menerangkan dari mula kelahiran sehinggalah pada zaman pertengahan umur. Namun idea Jung bukan sekadar itu. Idea Jung menjangkaui kehidupan manusia secara menyeluruh. Jung juga mengenengahkan pendapatnya pada ideanya “ individuation”. Beliau mengenengahkan pendapat perkembangan manusia pada usia selepas 40 tahun yang mana individu akan memfokuskan kepada pencapaian menjadi individu tersendiri secara total dan bersepadu. Selain itu individu itu juga cuba mengasimilasikan keadaan tak sedar dan menyeimbangkan dengan keadaan sedar untuk capai keseimbangan diri. Cuba memotivasikan diri kearah kehidupan yang lebih bermakna.


Jung juga menjelaskan kondisi diri seseorang individu itu pada mula stabil yang mana individu akan mula mengenali kendiri sebenar dan menerima keadaan mereka berada pada pada zaman “dark side”. Kesedaran sedemikian membolehkan personaliti mendapatkan dimensi yang lebih luas dan mendalam. Kadar pencarian materialistik akan makin berkurang dan individu akan lebih bersikap spiritual. Masa tuanya akan digunakan sebaik mungkin dalam menikmati kehidupan sebaiknya. Setiap aspek kehidupan yang di cernakan adalah dalam keadaan harmoni.


Dalam perspektif perkembangan idea Jung yang lain, beliau juga menjelaskan bahawa kepentingan peranan persekitaran banyak memepengaruhi personaliti seseorang. Di dalam teori yang diketengahkan oleh Jung manusia akan berhadapan dengan situasi “ tak sedar kolektif” yang mana keadaan ini membuatkan manusia bertingkahlaku bukan dalam keadaan realiti tetapi keadaan arkataip. Manusia sering berada dalam keadaan ini semata-mata untuk kepentingan diri seperti mendapatkan perhatian orang lain atau meletakkan dirinya di mata masyarakat. Persona merupakan salah satu arkitaib yang sering diwayangkan oleh manusia. Sifat persona merupakan sifat ketopengan atau kepura-puraan dalam diri semata-mata mengelak akan sesuatu atau mendapatkan sesuatu. Sifat persona ini biasanya bukan mencerminkan dirinya tetapi paksaan keatas dirinya dalam melakukan sesuatu perkara.kebiasaannya sifat sedemikian lebih berbaur penipuan dalam diri, hipokrit dan lakunan semata.


Perilaku sedemikian adalah semata-mata memuaskan diri dan cuba mengelak sesuatu yang bukan atas dasar keikhlasan hatinya. Tidak hairan kita boleh lihat manusia yang suka berpura-pura baik dalam keadaan sama dia berkelakuan buruk. Persona ada pada setiap manusia dan kemuncak persona pada pendapat Jung adalah pada zaman remaja dan meningkat dewasa kerana ketika itu manusia akan menggunakan sebaik mungkin dirinya untuk penerimaan masyarakat.


Selain itu didalam kehidupan atau perkembangan manusia ini Jung menjelaskan bahawa setiap manusia tidak lepas dari “ anima dan animus”. Anima dan animus merupakan satu sifat yang bercirikan sifat keperempuanan dan kelakian didalam setiap diri manusia. Sifat-sifat ini akan mengimbangi diri seseorang bagi mencapai kesempurnaa. Didalam diri lelaki ada sifat animus sebagai sifat dominan, tetapi kehadiran anima sebagai agen sifat keperempuanan yang akan mengimbangi sifat animus yang lebih kasar. Kehadiran anima ini akan menggerakkan sifat kasih sayang, cinta, belas kasihan dan lain-lain bagi seorang lelaki. Begitu juga dengan perempuan kehadiran animus membantu mereka dari terus lemah dan menjadikan mereka lebih tegas, berani dan lain-lain dalam diri mereka. Keseimbangan kedua-dua sifat ini akan melahirkan insan yang ideal dan mampu mengimbangi kehidupan dengan baik..
Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan idea Jung tentang perkembangan manusia amat bertepatan sekali. Perkembangan manusia dirungkaikan dengan permulaan kelahiran, akil baligh (keremajaan), kedewasaan dan seterusnya. Pendekatan yang diketengahkan oleh Jung cukup menjelaskan perlunya pengawalan elemen persekitaran dan juga asuhan ibu bapa kepada anak mereka dalam membentuk anak-anak yang terbaik. Pendekatan ekstravensi dan intervensi Jung merupakan satu indikator yang berbeza dengan idea Psikologis yang lain. Selain itu idea Jung terhadap persona dan anima animus banyak memberi gambaran akan kehidupan manusia sebenar. Pandangan Jung terhadap manusia mencakupi pengaruh pengalaman sekarang dan juga harapan serta jangkaan. Begitulah yang berlaku kepada manusia. Pendekatan idea Jung ini juga cukup menjelaskan personaliti seseorang mengikut perbezaan pengaruh yang berbeza-beza. Faktor psikologikal memainkan peranan yang sangat besar dalam pembentukan perkembangan dan personaliti seseorang.



2 comments:

Unknown said...

TERIMA KASIH KEPADA MAKLUMAT ANDA..:)
SGT BERGUNA...!!

Unknown said...
This comment has been removed by the author.